Ramai lagi hilang pekerjaan - Utusan Malaysia

Ramai lagi hilang pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Tahun lalu sahaja seramai 35,000 individu hilang pekerjaan manakala dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, angka itu sudah mencecah 13,099 dengan purata seramai 1,625 orang diberhentikan kerja setiap bulan dengan pelbagai alasan.

Jumlah 13,099 itu tidak termasuk pembuangan dalam sektor kerajaan membabitkan pelbagai jawatan lantikan politik serta agensi yang sebelum ini dimansuhkan selepas peralihan kuasa pemerintahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Ini bermakna, jumlah untuk tahun ini sebenarnya lebih besar daripada data diperoleh, ditambah pula kesan keadaan ekonomi global yang kian meruncing sehingga menyebabkan kebanyakan syarikat terpaksa mengambil langkah penjimatan demi memastikan kelangsungan perniagaan.

Menurut laporan portal Chatham House, analisis Penyelidik Kewangan dan Ekonomi Globalnya, Matthew Oxenford, banyak kesan langsung masih dikesan aktif sehingga ke hari ini akibat masalah kegawatan seperti kadar hutang dalam kalangan negara maju selain isu pengangguran berbanding keadaan sebelum 2008.

“Meskipun menurun namun jumlah hutang dan pengangguran masih jauh lebih tinggi berbanding sebelum krisis sebagai contoh hutang kasar negara maju masih berada pada tahap 106 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 72 peratus pada 2007.

“Pengangguran di Eropah masih tinggi seperti di Sepanyol lebih 15 peratus dan 20 peratus di Greece,” katanya.

Malaysia turut menerima tempias dan dijangka berlarutan hingga tahun hadapan yang mungkin memperlihatkan lebih ramai bakal hilang pekerjaan disebabkan pelbagai faktor termasuk landskap politik.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor menyifatkan majikan di negara ini tidak dapat membuat keputusan sepanjang tahun ini berikutan perancangan dan hala tuju pentadbiran negara yang masih tidak jelas.

“Jika tahun ini secara purata lebih 1,600 pekerja dibuang setiap tahun, tidak mustahil majikan akan melaksanakan proses pengurangan kos dengan memberhentikan lebih ramai pekerja pada tahun hadapan.

“Justeru, kerajaan perlu kurangkan `berpolitik’ dan menumpukan kepada usaha membangunkan negara dengan memberi penjelasan dan hala tuju yang terbaik,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN