KOTA BHARU 29 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak hadir pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ketiadaan Mustapa yang kini menjadi wakil rakyat tunggal Pakatan Harapan (PH) menghampakan banyak pihak yang mahu bersemuka dengan beliau, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.
Difahamkan, Ahli Parlimen Jeli itu pada awalnya dikatakan bercadang menghadiri persidangan kali ini yang memberi fokus terhadap belanjawan negeri.
Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana beliau mempunyai urusan penting yang tidak dapat dielakkan di Kuala Lumpur.
Mustapa sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.
Minggu lalu, beliau mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus menjadi wakil rakyat tunggal PH di negeri ini, setakat ini.
Sementara itu, Md. Alwi yang juga ADUN Kok Lanas ketika ditemui pemberita pada sesi rehat mengakui hampa tidak dapat bertemu dan berbual dengan Mustapa dalam sidang DUN kali ini.
“Kehilangan dia bukan masalah besar. Kita dulu ada dua (kerusi) , kemudian jadi enam, jadi 12, seterusnya jadi lapan dan sekarang tujuh. Itu perkara biasa dalam politik dan tak jadi masalah bagi BN.
“Tapi saya memang kecewa dia tidak hadir hari ini, mungkin sebab ada sidang Parlimen. Kalau dia ada, mungkin kita boleh tanya-tanya,” katanya.
Mengulas lanjut, Md. Alwi menegaskan, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu bukanlah satu ikon besar sebagaimana digembar-gembur pelbagai pihak
“Masalahnya ramai nak angkat dia sebagai ikon. Kita beri gambaran seolah-olah dia (Mustapa) ini ikon dan segala-galanya.
“Bagi saya dia bukan ikon, (ibarat) ku sangka permata rupanya kaca,” katanya. – UTUSAN ONLINE









