BANGKOK – Rakyat Thailand semalam terkejut mendengar berita kematian bilionair, Vichai Srivaddhanaprabha berikutan kejayaan mendiang sebagai pemilik Leicester City menjadi kebanggaan negara.
Vichai, 60, terkorban apabila helikopter yang dinaikinya terhempas di sebuah tempat letak kereta di luar Stadium King Power sejurus selepas kelabnya terikat 1-1 menentang West Ham, Sabtu lepas.
Di sebalik gelaran bilionair dan lelaki kelima terkaya di Thailand, Vichai sebenarnya kurang dikenali di tanah air sendiri hampir sepanjang usianya.
Mendiang yang juga pemalu dengan media, merupakan pemilik perniagaan bebas cukai, King Power.
Bagaimanapun, semuanya berubah apabila Leicester City berjaya menjuarai Liga Perdana England pada tahun 2016 selepas mendiang membeli kelab bola sepak berkenaan dalam tahun 2010.
Walaupun berterusan menolak untuk diwawancara, kelibat mendiang tidak asing lagi semasa perlawanan Leicester City, manakala jenamanya menjadi sebutan di bibir peminat bola sepak.
“Mendiang menjadi inspirasi kepada rakyat Thailand kerana beliau amat dikenali dan amat berjaya di peringkat antarabangsa,” kata seorang lelaki, Chamat Uchukanokkul, 39, kepada agensi berita AFP ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Bangkok.
Sementara itu, polis Britain menamakan empat mangsa nahas helikopter tersebut sebagai Nursara Suknamai dan Kaveporn Punpare iaitu pekerja Vichai di samping juruterbang helikopter, Eric Swaffer dan penumpang, Izabela Roza Lechowicz.
Menurut majalah Forbes, mendiang memiliki kekayaan berjumlah sekitar AS$4.9 bilion (RM20.4 bilion) setakat hujung bulan ini. – AFP










