Raja Muda Perlis harap Rejimen Askar Wataniah terus diperkukuhkan - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis harap Rejimen Askar Wataniah terus diperkukuhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 26 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap Rejimen Askar Wataniah dapat memperkukuhkan pertahanan dan menangani sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan di negara ini.

Selain itu titah baginda, anggota keselamatan itu juga diharap dapat menyediakan maklumat dan perisikan secara tepat untuk diguna pakai oleh angkatan tetap dalam melaksanakan operasi di kawasan tanggungjawab.

“Kewujudan Rejimen Askar Wataniah sebagai sebuah organisasi yang berkeupayaan diharap mampu untuk membantu dalam mempertahankan tanah air serta melaksanakan segala tugas serta tanggungjawab berkesan dan efektif,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan majlis penutupan kursus asas semboyan sukarela Rejimen Askar Wataniah Siri 2/2018 di pentas utama tapak Festival Konvokesyen ke-13 (Feskon13) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), perkarangan Pusat Kejuruteraan, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang disekalikan dengan penutupan latihan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah 2018 itu disambut oleh Timbalan Komander Rejimen tersebut, Leftenan Kolonel Huzaini Hussin.

Turut hadir, Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. serta ketua-ketua jabatan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Selepas program itu, baginda diiringi para peserta menghadiri program penyerahan sumbangan agihan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 120 asnaf terpilih yang diadakan di surau Unimap tidak jauh daripada lokasi majlis berkenaan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN