Rafizi: Pengaruh dan jawatan bukan penentu kemenangan calon - Utusan Malaysia

Rafizi: Pengaruh dan jawatan bukan penentu kemenangan calon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 14 Okt. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan bahawa pengaruh dan jawatan seseorang calon bukanlah penentu kemenangan dalam pemilihan PKR.

Rafizi yang bertanding merebut kerusi nombor dua PKR berkata, berdasarkan keputusan pemilihan setakat ini, terbukti beliau dapat menyaingi pencabarnya walaupun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjawatan menteri kanan.

“Saya penganggur lawan seorang menteri, sepatutnya masuk kubur awal dah tetapi itu tidak berlaku.

“Tanggapan yang menyatakan mereka yang berpengaruh akan dapat undi adalah tidak benar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian bagi Cabang Kapar di Kompleks Rakan Muda, Kampung Perepat di sini hari ini.

Rafizi setakat ini mendahului Mohamed Azmin dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR selepas mencatat kemenangan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

Mohamed Azmin pula meraih kemenangan di Pulau Pinang, Kedah dan Johor.

Rafizi ketika ini meraih 19,161 undi manakala Mohamed Azmin mendapat 19,112 undi.

Beliau dalam pada itu memberitahu, senario pemilihan calon Timbalan Presiden akan terus kekal sengit dengan beza antara lima ke 10 undi sahaja.

“Jika tanya saya, keputusan akan kekal sengit, apa pun kita tunggu keputusan petang ini.

“Namun, keputusan hari ini mungkin akan menentukan perjalanan akan datang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN