SEREMBAN 20 Okt. – Keputusan pemilihan PKR Negeri Sembilan hari ini menyaksikan Rafizi Ramli mendahului pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden parti itu dengan kelebihan 39 undi.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi di tujuh daripada lapan cabang di negeri ini, Rafizi memperoleh 2,839 undi manakala Mohamed Azmin 2,800 undi.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan menang di empat cabang iaitu Seremban, Rasah, Rembau dan Tampin berbanding lawannya yang menerima undi terbanyak di Telok Kemang, Kuala Pilah dan Jempol.
Keputusan bagi Cabang Jelebu masih belum diterima sehingga pukul 9.16 malam.
Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar mendapat undi tertinggi iaitu 3,753 undi, diikuti Zuraida Kamaruddin (2,884); Dr. Xavier Jayakumar (2,621) dan Datuk Johari Abdul (2,473). – UTUSAN ONLINE









