Rafizi menang di Perlis dengan kelebihan 66 undi - Utusan Malaysia

Rafizi menang di Perlis dengan kelebihan 66 undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 21 Okt. – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menepati ramalan apabila menewaskan penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti sebanyak 66 undi dalam keputusan tidak rasmi pemilihan pusat parti itu di negeri ini, hari ini.

Rafizi mendapat sebanyak 400 undi daripada ketiga-tiga Cabang PKR di negeri ini manakala Mohamed Azmin menerima sebanyak 334 undi dalam pertembungan sengit.

Keputusan rasmi tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman ketika ditemui di sini hari ini.

Kemenangan Rafizi itu dibantu dengan jumlah undi yang besar diperolehi di Cabang Padang Besar dengan sebanyak 130 undi berbanding Mohamed Azmin hanya 70 undi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga mencapai kemenangan di Cabang Kangar dengan majoriti hanya 37 undi.

Bagaimanapun di Cabang Arau, Mohamed Azmin mencipta kejutan apabila menang dengan majoriti 31 undi selepas memperolehi keseluruhan undi sebanyak 218 undi mengatasi Rafizi (187 undi).

Dalam pada itu, pemilihan PKR di Perlis hari ini hambar apabila ketiga-tiga cabang merekodkan peratusan keluar mengundi di bawah 30 peratus daripada keseluruhan 5,490 ahli di negeri ini.

Cabang Padang Besar merekodkan sebanyak 30.6 peratus keluar mengundi, diikuti Cabang Arau (26.4 peratus) dan Cabang Kangar (sembilan peratus).

Cabang Padang Besar mencatatkan seramai 336 orang pengundi manakala Cabang Arau (606 orang) dan Cabang Kangar (192 orang).

Cabang Kangar mencatatkan jumlah pengundi terendah berikutan dikatakan terdapat Pesta Air Kuala Perlis 2018 yang berlangsung pada masa sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN