KUALA LUMPUR 20 Okt. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa dirinya menang dalam pemilihan parti di Negeri Sembilan dan Melaka hari ini, meskipun keputusan akhir belum dikeluarkan oleh PKR.
KEPUTUSAN N9 MELAKA
Tkasih sahabat2 PKR N9 & Melaka – keputusan tidak rasmi menunjukkan saya menang di kedua2 negeri.
Masih tunggu keputusn akhir utk tentu margin sebenar.
Setakat keputusan x rasmi:
N9: RR (52%), AA (48%)
Melaka: RR (55%), AA (45%)Negeri: RR (6), AA (2)
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) October 20, 2018
Malah dalam akaun Twitter beliau, Rafizi telah mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli PKR di dua negeri tersebut yang memilihnya untuk jawatan kedua tertinggi dalam parti itu.
Beliau bagaimanapun memaklumkan keputusan akhir pengundian di dua negeri tersebut belum dapat diumumkan bagi menentukan margin kemenangannya.
“Terima kasih sahabat-sahabat PKR Negeri Sembilan dan Melaka. Keputusan tidak rasmi menunjukkan saya menang di kedua-dua negeri,” katanya dalam akaun media sosialnya itu sebentar tadi.
Sebelum pengundian di Negeri Sembilan dan Melaka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang mendahului Rafizi dengan kelebihan 734 undi selepas enam negeri dan satu pertiga Selangor yang telah mengadakan pemilihan.
Esok seramai 83,038 ahli PKR di Selangor dan 5,490 ahli lagi di Perlis akan mengundi. – UTUSAN ONLINE









