SEREMBAN 20 Okt. – Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR terus sengit apabila Rafizi Ramli mengatasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kelebihan 92 undi selepas Pemilihan PKR Negeri Sembilan hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi di lapan cabang di negeri ini, Naib Presiden PKR itu memperoleh sebanyak 3,053 undi manakala Mohamed Azmin 2,961 undi.
Rafizi menang di lima cabang iaitu Seremban, Rasah, Rembau, Tampin dan Jelebu manakala lawannya menerima undi terbanyak di Telok Kemang, Kuala Pilah dan Jempol.
Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar memperoleh undi tertinggi di enam cabang iaitu 4,010 undi, diikuti Zuraida Kamaruddin, Dr. Xavier Jayakumar dan Datuk Johari Abdul.
Sementara itu, Menteri Besar, Aminuddin Harun memenangi jawatan Ketua Cabang Tampin apabila memperoleh 561 undi mengatasi penyandang sejak dua penggal lalu, Kapten (B) Zulkapli Kassim yang mendapat 333 undi. – UTUSAN ONLINE









