SYDNEY 19 Okt. – Pasangan diraja Britain, Putera Harry dan Meghan Markle ‘berkaki ayam’ dan menggayakan kalungan bunga ketika mengunjungi Pantai Bondi, hari ini iaitu persinggahan terakhir dalam lawatan mereka di Australia.
Meghan tampil bergaya dengan memakai gaun musim panas sementara Harry pula dengan pakaian santainya mendapat sorakan daripada penduduk sekitar dan menikmati keindahan ombak pantai tersebut.
Pasangan itu juga bertemu dengan kumpulan peluncur ombak dan duduk di atas pasir sambil berbual dengan barisan ketua kumpulan OneWave, yang giat membantu individu meningkatkan kesihatan mental dengan mengadakan aktiviti di luar rumah.
Sementara itu, sepanduk bertulis ‘G’day Harry and Meghan’ mengalu-alukan kedatangan pasangan diraja itu, yang menerima sambutan mesra daripada peminat sejak mengadakan lawatan selama 16 hari di Pasifik.
Walaupun separuh daripada penduduk Australia menentang raja British sebagai ketua negara, majoriti warga Australia melakukan aktivi seperti biasa semasa lawatan itu namun sokongan yang cukup besar diterima pasangan tersebut di setiap persinggahan.
Dalam pada itu, liputan akhbar negara tersebut memberi gelaran kepada Meghan sebagai ‘ratu pelukan’ dan Harry menerima ‘kasih sayang melimpah ruah’.
Menurut Pergerakan Republikan Australia, Duke dan Duchess of Sussex adalah pelawat yang sangat dialu-alukan.
“Penduduk Australia dari semua peringkat umur tahu perbezaan antara peristiwa yang indah ini dan persoalan tentang identiti dan masa depan bangsa dan negara,” tambah pergerakan itu.
Dalam referendum 1999, sebanyak 55 peratus rakyat Australia menentang penggantian Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara, walaupun pungutan suara menunjukkan sokongan bagi republikanisme yang telah berkembang sejak itu.
Parti pembangkang, Parti Buruh telah menjanjikan plebisit mengenai isu itu jika memenangi pilihan raya umum yang dijangka pada 2019. – AFP










