KUALA LUMPUR 14 Okt. – Sebanyak 23 warga asing ditahan Jabatan Imigresen disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran dalam Op Gegar di sebuah pusat hiburan di Cheras di sini semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 1.15 pagi itu, kesemua warga asing terdiri daripada 21 wanita dan dua lelaki itu disyaki bekerja sebagai penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) serta pekerja premis tersebut.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya mendapati premis tersebut menawarkan aktiviti kalungan bunga dan persembahan ‘cat walk’ di atas pentas dengan kadar bayaran bermula dari RM50 hingga RM500.
“Selain itu, terdapat aktiviti istimewa iaitu pemakaian mahkota sebagai daya tarikan. Aktiviti ini membolehkan pelanggan akan memberikan ‘tip’ bermula RM500 hingga RM1,000 kepada perempuan yang dipilih.
“Turut ditahan tiga warga tempatan merupakan penyelia, penjaga dan juruwang di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mustafar, siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE










