Proses pengundian di lima cabang PKR fasa dua di Kedah berjalan lancar - Utusan Malaysia

Proses pengundian di lima cabang PKR fasa dua di Kedah berjalan lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR –  Proses pengundian di lima cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) fasa dua di negeri ini bagi pemilihan jawatankuasa parti itu berjalan lancar selepas tempat mengundi dibuka pada pukul 10 pagi ini.

Lima cabang tersebut adalah Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu.

Tinjauan Kosmo! Online di tempat mengundi Cabang Merbok di Dewan Hock Tek Soo, Sungai Lalang di sini mendapati ahli parti itu yang layak mengundi mula beratur untuk mendaftar pada pukul 9.30 pagi.

Bagaimanapun beberapa ahli PKR kecewa apabila nama mereka tidak tersenarai sebagai pemilih di cabang berkenaan.

Seramai kira-kira 7,000 ahli PKR layak memilih di cabang tersebut.

Pada masa sama, sekumpulan anggota polis dan Rela bertugas mengawal keselamatan untuk menjamin kelancaran proses mengundi.

Seramai tiga calon bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Merbok iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, Summugam Rengasamy dan bekas  ADUN Bukit Selambau, R. Krishnamoorthy serta Zikri Md. Zain.

Mengikut jadual, pemilihan PKR Cabang Merbok sepatutnya berlangsung pada 22 September lalu tetapi ditunda hari ini selepas berlaku kekecohan dan pergaduhan apabila sekumpulan ahli parti itu tidak berpuas hati dengan sistem e-Undi yang tergendala.

Dalam pergaduhan itu, polis telah menahan seramai 13 lelaki berusia 20 hingga 50-an selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan tersebut. 

Malah pemilihan PKR di empat cabang lain iaitu Jerai, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu juga ditunda pada hari ini akibat berlaku kekecohan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN