ALOR SETAR – Proses pengundian di 10 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini bagi pemilihan jawatankuasa parti itu berjalan lancar selepas tempat mengundi dibuka pada pukul 10 pagi ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Zamri Yusof berkata, setakat ini ahli PKR yang berdaftar sebagai pemilih dapat membuang undi dengan lancar menerusi sistem e-undi.
Menurutnya, 10 cabang yang berlangsung pemilihan hari ini adalah Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Pendang, Sik dan Baling.
Katanya, jumlah saluran dan tablet di tempat mengundi telah ditambah untuk memastikan proses membuang undi tersebut berjalan lancar.
“Saya mengharapkan proses pengundian di kesemua tempat mengundi berjalan lancar dan terkawal sehingga ditutup pukul 5 petang ini,” katanya ketika ditemui di tempat mengundi cabang Alor Setar di Kompleks Belia dan Sukan negeri di sini sebentar tadi.
Zamri memberitahu, proses pengundian di 10 cabang tersebut telah berlangsung pada 22 September tetapi telah dibatalkan dan ditunda selepas sistem e-undi mengalami masalah teknikal serta berlaku kekecohan di beberapa tempat mengundi.
Sementara itu, Zamri memberitahu, PKR negeri juga meningkatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan lebih ramai anggota polis dan Rela di tempat mengundi untuk mengelakkan berlaku kekecohan sehingga mengganggu kelancaran pemilihan.
“Kita telah mengarahkan polis dan Rela menangkap kumpulan dan individu yang cuba melakukan provokasi bertujuan menimbulkan kekecohan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, lima cabang lagi iaitu Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu yang turut ditunda akan mengadakan pengundian esok.
“Jumlah keseluruhan ahli PKR yang berdaftar dan layak membuang undi di 15 cabang di negeri ini ialah seramai kira-kira 49,924 orang,” katanya. – K! ONLINE










