KUALA LUMPUR – Proses penghantaran pulang lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak Mac lepas dan ditahan polis pada 1 Oktober dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.
Tanpa mendedahkan ke negara mana Hassan akan dihantar, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, buat masa ini proses perbincangan dengan pihak kedutaan negara itu sedang dilaksanakan.
“Kita telah berbincang dengan kedutaan yang bersedia untuk ambil dia (Hassan) dan ini bukanlah proses pengusiran tetapi proses penghantaran.
“Negara berkenaan telah setuju ambil dia dan negara itu perlu laksanakan beberapa proses daripada segi kemasukan ke negara berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Anti-Rasuah 2018 di sini, hari ini.
Hassan, 36, ditahan polis kerana berada di ‘kawasan yang dilarang’ di KLIA2 dan direman selama 14 hari. – Bernama









