KUALA LUMPUR 26 Okt. – Proses membida kapal mewah, Equanimity akan bermula Isnin ini dan berakhir pada 28 November ini.
Bagi bakal pembeli yang benar-benar layak, mereka perlu menyediakan wang pendahuluan sebanyak 10 peratus iaitu AS$1 juta (RM4.18 juta) dan menjelaskan bakinya.
Peguam Ong Chee Kwan bersama barisan peguam yang menuntut hak bagi kerajaan ke atas Equanimity itu memberitahu pemberita, status perkembangan penjualan kapal berkenaan di Mahkamah Tinggi (Admiralti) di sini hari ini.
Menurut peguam itu, akhir Disember ini kapal mewah yang dikatakan milik Jho Low bernilai AS$250 juta (RM1 bilion), mungkin bukan lagi milik Malaysia.
Chee Kwan memberitahu demikian selepas hadir di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris bagi mendapatkan arahan mahkamah berhubung penjualan aset tersebut, iklan dan proses membida.
Beliau berkata, bagi pembeli yang benar-benar layak, boleh menjalankan pemeriksaan untuk melihat kondisi kapal dan akan diberikan borang tawaran pembelian sebelum proses bidaan dalam talian bermula.
Pada 17 Ogos lalu, kerajaan bersama Kumpulan 1MDB telah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa syarikat pelaburan itu adalah pemilik Equanimity yang sah sebelum menjual aset yang dikatakan milik Jho Low.
Dalam saman pemula itu, Kumpulan 1MDB bersama dua syarikat subsidiarinya, 1MDB Global Investment Limited dan 1MDB Energy Holdings Limited serta kerajaan selaku pihak plaintif menamakan pemilik kapal, Vesel Equanimity dari Kepulauan Cayman sebagai defendan tunggal.
Pihak plaintif menuntut lima perintah antaranya perisytiharan bahawa Kumpulan 1MDB adalah pemilik sah atau benefisiari kapal tersebut dan/atau pemilik separa Equanimity berdasarkan pembahagian saham masing-masing di dalamnya.
Pihak plaintif selain itu menuntut suatu perintah untuk menjual Equanimity serta perintah pengagihan hasil jualan harta tersebut kepada Kumpulan 1MDB berdasarkan setakat mana hak milik mereka dalam kapal berkenaan, kos dan perintah lain yang sesuai.
Pada 19 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi (Admiralti) di sini mengisytiharkan bahawa kerajaan dan 1Malaysia Development Bhd. (Kumpulan 1MDB) adalah pemilik benifisiari kapal mewah, Equanimity. – UTUSAN ONLINE










