Projek LSS TNB mula beroperasi - Utusan Malaysia

Projek LSS TNB mula beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Loji Solar Berskala Besar (LSS) Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor kini beroperasi dengan penghantaran tenaga pertama ke Grid Nasional pada minggu lalu.

TNB menerusi satu kenyataan berkata, kerja-kerja bagi loji solar itu berjalan lancar dan dijangka menjana kapasiti penuh 50 megawatt (mW) sebelum akhir tahun ini.

“Loji itu merupakan projek LSS terbesar di Malaysia setakat ini dengan mempunyai 230,000 panel solar dan kabel gentian optik bawah tanah sepanjang 10 kilometer (km) dengan kuasa 132 kilovolt (kV).

“Projek LSS itu membuktikan aspirasi dan komitmen kami ke arah pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

“Ia turut menunjukkan kepakarannya dalam keupayaan TNB dalam bidang RE, selain berperanan sebagai pemaju projek tenaga yang bereputasi,” katanya di sini semalam.

Projek LSS yang dimulakan pada Julai 2017 itu dibangunkan oleh subsidiari TNB, TNB Sepang Solar Sdn. Bhd. di atas tanah berkeluasan 98 hektar, manakala TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. adalah rakan kongsi kejuruteraan, perolehan dan pembinaannya.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini me­nyasarkan 20 peratus daripada penjanaan tenaga negara adalah menerusi sumber boleh perbaharui menjelang tahun 2030.

Pada masa ini kira-kira 53 peratus penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia adalah daripada arang batu, sementara gas asli (42 peratus), kuasa hidro (5 peratus) serta bentuk RE lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN