Program perintis keciciran sifar dilaksana di Perlis dan empat daerah - Utusan Malaysia

Program perintis keciciran sifar dilaksana di Perlis dan empat daerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 26 Okt. – Kementerian Pendidikan telah memilih sebuah negeri dan empat daerah di negara ini untuk pelaksanaan program perintis bagi mencapai kadar keciciran sifar dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas berkata, negeri berkenaan ialah Perlis manakala daerah yang terlibat ialah Langkawi, Kedah; Hulu Langat, Selangor; Simpang Renggam, Johor dan Pasir Mas, Kelantan.

Beliau berkata, program itu telah dilaksanakan sejak bulan lalu dan dijangka mengambil masa setahun.

“Kita hendak pastikan bahawa tidak ada seorang pun yang tercicir daripada sekolah. Walaupun kadar keciciran di negara ini semakin berkurangan namun bagi sesebuah negara maju ia akan diambil kira walaupun dalam perkara yang dianggap kecil, itu sifat negara maju.

“Banyak intervensi yang perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini dengan sokongan pelbagai penggerak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan lain di peringkat daerah dan negeri yang bergabung bersama-sama kami dalam agenda besar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti kebangsaan di Institut Aminuddin Baki, Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan, Datin Seri Ismalina Ismail.

Mohd. Gazali berkata, sehingga kini, pihaknya masalah keciciran berpunca daripada faktor yang sangat khusus seperti kematian ahli keluarga yang menyebabkan pelajar tiba-tiba tidak datang ke sekolah.

Jelasnya, dalam program printis itu, kementeriannya akan melihat semua statistik yang dikumpul dan usaha yang dilakukan untuk membawa kembali murid berkenaan ke sekolah.

“Setiap kes berbeza dan jalan penyelesaiannya juga berbeza. Sebab itu kita lakukan program perintis supaya kita dapat lihat penyelesaian secara menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN