Program Life Renewed pulih masalah jantung Fawwaz - Utusan Malaysia

Program Life Renewed pulih masalah jantung Fawwaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Okt. – Kegembiraan sepasang suami isteri, Ahmad Bukhari Abdul Halim dan Siti Faridah Abdul Halim menerima sepasang kembar lelaki yang me­rupakan anak sulung mereka tidak berpanjangan.

Selepas enam bulan dilahirkan, doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesan salah seorang daripada mereka, Ahmad Fawwaz mempunyai masalah jantung berlubang.

Ahmad Bukhari, 26, berkata, perkhabaran berkenaan mencemaskan keluarganya, namun dia masih positif anak mereka boleh diubati.

“Doktor di HSJ kemudian merujuk anak saya di Pusat Perubatan Gleneagles yang mempu­nyai kepakaran untuk melakukan pembedahan. Kebetulan terdapat program Life Renewed yang dianjurkan mereka untuk membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit dan memerlukan rawatan susulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Juruteknik kilang itu berkata, selepas dua bulan dipantau, anaknya selamat menjalani pembedahan.

Sementara itu, isterinya, Siti Faridah Abdul Halim, 25, berkata, dia berdepan pengalaman mencemaskan apabila anak sulungnya itu disahkan bermasalah jantung.

Katanya, selepas pembedahan berjaya, doktor mengesan paru-paru anaknya pula mempunyai masalah dan terpaksa melakukan satu lagi rawatan.

“Alhamdulillah kini Ahmad Fawwaz dapat bermain bersama adiknya, Ahmad Fayyad. Saya berterima kasih kepada pihak hospital yang memberi peluang untuk anak saya menjalani rawatan di sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Pusat Perubatan Gleneagles Pulau Pinang, Yong Zi Ling berkata, sejak program berkenaan diperkenalkan enam tahun lalu, rangkaian hospital berkenaan membantu 1,300 ibu bapa untuk mendapatkan rawatan perubatan profesional.

Katanya, Rangkaian Pantai Parkway yang menaungi program berkenaan pada tahun ini telah memperuntukkan dana seba­nyak RM6 juta untuk 14 Pusat Perubatan Gleneagles dan Hospital Pantai di seluruh negara.

“Di negeri ini pula, seramai 250 keluarga menerima manfaat daripada program ini yang mana anak mereka disahkan menghidap pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan rapi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN