Program Asasi Teknologi Komputer - Utusan Malaysia

Program Asasi Teknologi Komputer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA era digital ini, keperluan tenaga mahir dalam teknologi maklumat terbuka luas, malah pekerjaan utama di dunia pada masa depan hampir semuanya berkaitan dengan bidang tersebut.

Seiring dengan perkembangan itu, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) memperkenalkan program baharu iaitu Program Asasi Teknologi Komputer (FiCT) yang bakal memulakan pengajian pada November tahun ini.

Ketua Seksyen Asasi Teknikal UniKL MIIT, Dr. Yasmin Yahya berkata, FiCT diperkenalkan bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan O-Level menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang teknologi maklumat.

“Program asasi selama setahun dua bulan ini adalah laluan tepat kerana pelajar diberi jaminan akan diserapkan terus ke peringkat ijazah di UniKL MIIT dan mereka boleh memilih program ijazah yang ditawarkan di universiti tersebut,” katanya.

Yasmin berkata, program yang boleh dipohon adalah Sistem Keselamatan Komputer, Kejuruteraan Perisian, Sistem Komputer, Pengurusan Keusahawanan Komputer dan Rangkaian Sistem Komputer.

Beliau berkata, untuk kema­sukan pertama, UniKL MIIT menawarkan harga istimewa untuk yuran pengajian iaitu sebanyak RM5,500 sahaja. Tawaran tersebut hanya untuk warganegara Malaysia.

Katanya, untuk mengikuti Program FiCT, pelajar perlu memiliki lima kredit termasuk Matematik tidak kira bagi lepasan SPM mahupun O-Level.

Untuk maklumat lanjut, hubungi UniKL MIIT di talian 03-275 4146 (Muhamad Hafize Md. Badri) atau memohon secara dalam talian menerusi www.admission.unikl.edu.my selewat-lewatnya pada 23 November 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN