Bayangkan ibu bapa telah mencuba sedaya upaya, akan tetapi anak-anak mereka masih tidak mencapai ketinggian yang normal seperti rakan-rakan mereka yang sama usia. Kebiasaannya ibu bapa sering mengamalkan sikap ‘tunggu’ dan ‘lihat’. Mereka menganggapkan bahawa anak-anak mereka tidak mencapai paras ketinggian yang normal adalah disebabkan faktor keturunan, genetik ataupun mereka mengandaikan anak-anak mereka akan mencapai ketinggian yang normal pada suatu hari nanti.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik, Ketua Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya Medical Centre (UMMC), Prof. Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin, sebenarnya tumbesaran seorang kanak-kanak tidak boleh menilai menerusi penampilan sahaja.
“Tumbesaran ialah penanda aras yang utama kepada seseorang kanak-kanak dari segi kesihatan dan kesejahteraan mereka. Oleh yang demikian, ibu bapa serta pakar-pakar perlulah mengukur dan merekodkan dengan tepat tentang perkembangan ketinggian anak-anak dalam laporan tumbesaran. Ini haruslah dilakukan dengan teliti untuk memudahkan pengesanan awal masalah tumbesaran,” katanya.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak pendek. Misalnya, genetik, penyakit, ubat-ubatan, pemakanan, hormon, dan persekitaran psikososial. Tumbesaran perlahan pada kanak-kanak biasanya jelas kelihatan antara usia dua hingga lima tahun. Oleh itu, jika selepas berusia lima tahun, kanak-kanak itu membesar kurang daripada lima sentimeter (cm) setahun atau kadar tumbesaran menurun sebanyak dua peratus atau lebih dalam carta tumbesaran, ibu bapa perlu mencari bantuan untuk menangani masalah ketinggian mereka yang tidak bertambah itu.
Pada masa yang sama, beliau menggalakkan ibu bapa meminta pandangan daripada pakar pediatrik supaya mereka dapat mengesan punya masalah serta memeriksa latar belakang pesakit tersebut agar faktor-faktor lain boleh diketepikan. Jika kanak-kanak disyaki menghadapi masalah hormon, maka anak itu harus dirujuk kepada pakar endokrinologi pediatrik. Ujian darah untuk menentukan garis dasar dan ujian rangsangan boleh dilakukan untuk menilai jika tumbesarannya perlahan adalah disebabkan oleh kekurangan hormon tumbesaran.
Hormon pertumbuhan ialah sejenis protein yang dibuat oleh pituitari (kelenjar kecil yang terletak di bawah otak di tengah kepala di belakang hidung). Ia merangsang tumbesaran ketinggian kanak-kanak dan remaja serta membantu tumbesaran tubuh seperti penjagaan otot dan jisim tulang, penurunan tisu lemak, di samping mempengaruhi tahap lipid darah seperti kolesterol dan trigliserida.
Selain daripada Gangguan Hormon Tumbesaran atau GHD, antara gangguan lain yang boleh menyebabkan kanak-kanak tidak cukup tinggi ialah Sindrom Turner dan Kecil untuk Usia Kehamilan atau SGA (bayi lebih kecil atau kurang besar daripada normal berdasarkan jantina bayi dan usia kehamilan).










