PEKAN 20 Okt. – Celcom Axiata Berhad mewujudkan portal jualan dalam talian, Pribumi Mall sebagai usaha memasarkan produk-produk masyarakat Orang Asli sekitar Tasik Chini sempena pelancaran Sri Gumum Cyber Cube di Pusat Penyelidikan Tasik Chini di sini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, pusat internet itu dibangunkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang salah satu peranannya adalah membangunkan produk Orang Asli berketurunan Jakun di pasaran digital.
“Melalui katalog ‘Pribumi Mall yang boleh didapati di portal DesaMall kira-kira 30 produk yang dihasilkan masyarakat di sekitar Tasik Chini seperti sumpit, beg mengkuang dan akar kayu dijual.
“Sri Gumum Cyber Cube itu juga turut dilengkapi komputer dan kemudahan internet 4G turut menyediakan latihan bagi memperkasakan Orang Asli terutama usahawan dalam talian,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Sri Gumum Cyber Cube dan Penanaman Semula Pokok di Tasik Chini Rozab Biosfera Unisco sempena Program Khidmat Masyarakat Bersama Orang Asli Jakun anjuran Celcom Axiata Berhad di sini hari ini.
Sebanyak 1,000 pokok ditanam di sekitar tasik berkenaan sempena program tersebut.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi )UKM, Profesor Dr. Mohd. Ekhwan Toriman; Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata Berhad, Zuraida Jamaluddin. UTUSAN ONLINE










