KEMPEN berzakat menerusi konsep mini karnival kaunter zakat bergerak dan menumpukan kepada kawasan strategik termasuk menggunakan selebriti terkenal termasuk pendakwah bebas langsung ‘tidak mencuri’ peruntukan bahagian asnaf lain yang selayaknya mendapat bantuan.
Diakui memang terdapat suara-suara nakal khususnya dalam alam maya mengkritik tindakan institusi zakat yang kononnya seperti berlebih-lebihan dalam usaha promosi termasuk membayar sejumlah wang kepada tokoh-tokoh berkenaan. Bagi mereka adalah lebih baik perbelanjaan itu disalurkan kepada asnaf lain untuk dimanfaatkan.
Menjawab mengenai persoalan ini, Penolong Pengurus Besar, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP), Mukhsar Harun menjelaskan bahawa peruntukan yang digunakan pihaknya itu langsung tidak melibatkan peruntukan bagi manfaat asnaf-asnaf lain.
“Peruntukan ini adalah daripada asnaf amil dan ia dibenarkan syarak. Amil memang berhak memperoleh sebanyak 1/8 daripada kutipan zakat keseluruhan.
“Kami gunakannya semula untuk berdakwah kepada umat Islam atau lebih tepat lagi kami pulangkan semula kepada masyarakat. Kami ucapkan terima kasih kepada warganet yang timbulkan isu ini, segalanya ada hikmah, Allah tidak jadikan sesuatu itu sia-sia. Antara hikmahnya ialah kami dapat merungkaikan kekeliruan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mega Mimbar ketika ditemui pada Mini Karnival Kaunter Zakat Bergerak PPZ MAIWP di Pasar Tani Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Yang turut hadir, Penolong Pengurus Besar Operasi Dalam PPZ MAIWP, Azlan Shaari.
Beberapa selebriti jemputan memeriahkan karnival itu seperti Imam Muda Asyraf, Ustaz Akhil Hayy dan Man Raja Lawak.
Hakikatnya, kalimah amil jelas disebut dalam al-Quran dan hadis. Misalnya dalam ayat 60, Surah at-Taubah: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat…”
Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya,” – Riwayat Tirmizi, hadis hasan.
Mengulas lanjut mengenai karnival itu, Mukhsar berkata, ia adalah antara usaha untuk mempromosikan kemudahan saluran bayaran zakat yang disediakan oleh PPZ MAIWP menerusi kaunter perkhidmatan bergerak, sekali gus meningkatkan kutipan dan prospek zakat.
Beliau berkata, golongan sasarnya adalah pengunjung pasar tani dan peniaga yang membuka gerai-gerai jualan di tapak perniagaan tersebut.
“Peniaga dibekalkan maklumat zakat perniagaan dan buku tunai yang diberikan secara percuma sebagai panduan mengira zakat perniagaan bulanan mereka.
“Antara pengisian lain ialah sesi ‘Kasi Kecoh’ iaitu slot beramah mesra selebriti jemputan bersama peniaga dan pengunjung yang diselang-seli dengan soalan kuiz mengenai PPZ MAIWP serta hadiah cabutan bertuah,” katanya.










