KUALA TERENGGANU – Permint Plywood Sdn. Bhd. (PPSB) yang merupakan anak syarikat Golden Pharos Berhad (GPB) milik kerajaan negeri Terengganu memeterai perjanjian kerjasama dengan BioBenua Teknoloji Sdn. Bhd. berhubung penjualan minyak gaharu yang diproses daripada pokok karas.
Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak berkata, berdasarkan perjanjian berkenaan, PPSB akan membekalkan sebanyak 500 pokok karas yang matang sementara BioBenua Teknoloji pula menanggung kesemua kos rawatan pokok tersebut daripada sebarang jangkitan penyakit sebelum diproses menjadi minyak gaharu.
Beliau berkata, jalinan kerjasama tersebut merupakan pelan jangka panjang PPSB yang disasar memberi pulangan lumayan memandangkan industri minyak gaharu daripada ekstrak pokok karas mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.
“Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, pembahagian keuntungan dimuktamadkan 60 dan 40 peratus di antara BioBenua Teknoloji dan PPSB,” katanya selepas menandatangani perjanjian dengan BioBenua Teknoloji yang diwakili Pengarahnya, Datuk Abdul Razak Ali di sini hari ini.
Ahmad Nadzarudin memberitahu, GPB memiliki kira-kira 1,000 pokok karas yang ditanam di atas tanah seluas 999 hektar di Ladang Karas, Merchang, Marang.
Jelasnya, ekstrak karas atau lebih dikenali sebagai gaharu boleh diproses untuk menghasilkan minyak gaharu, minyak wangi, manik, bau-bauan, bahan hiasan dan teh wangian. – K! ONLINE











