Portal Cinta Sakinah JAIPk bantu cari jodoh - Utusan Malaysia

Portal Cinta Sakinah JAIPk bantu cari jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 30 Okt. – Golongan bujang Muslim tidak kira lelaki atau wanita yang berdepan kesukaran untuk bertemu jodoh, kini boleh berikhtiar mencari pasangan hidup di laman web jodoh Cinta Sakinah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Laman web yang dilancarkan secara rasmi hari ini adalah suatu inisiatif dibangunkan oleh JAIPk dengan kerjasama agensi kerajaan negeri, K-Perak Implementation And Coordination Corporation (K-Perak).

Berbeza dengan portal carian jodoh lain yang dikendalikan oleh pihak swasta, platform terbaharu bercirikan Islam itu akan menyatukan pasangan yang benar-benar ingin mencari jodoh sehingga ke peringkat perkahwinan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, setelah mendapat persetujuan bersama, pasangan berdaftar di laman web tersebut akan diaturkan pertemuan mereka di pejabat JAIPk atau pejabat-pejabat agama di negeri ini.

“Kita mendapat ilham untuk mewujudkan portal ini bagi membantu mereka yang sukar atau lambat bertemu jodoh, sehingga telah lanjut usia. Mereka ada keinginan untuk berkahwin tetapi merasa sukar untuk mendapatkan pasangan.

“Jadi, kita akan bantu, malah kita boleh uruskan pasangan ini untuk dimasukkan dalam program nikah jamaie syarie yang kita anjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian seminar mendepani cabaran keibubapaan bagi memahami dan membentuk peribadi cemerlang anak peringkat negeri Perak di Institut Tadbiran Islam (Intim) Perak di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pendidikan Islam, Industri Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan ialah laman web jodoh berkenaan iaitu cintasakinahjaipk.perak.my serta modul kefahaman poligami.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN