SEREMBAN 19 Okt. – Kes enam pelajar ponteng sekolah terperangkap di dalam sebuah rumah yang berkunci di Lobak di sini semalam disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, kesemua pelajar tingkat empat dan lima sebuah sekolah menengah di sini bagaimanapun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas siasatan dilakukan semalam.

“Dalam kejadian itu, pihak bomba menemukan lima pelajar lelaki berumur 17 tahun dan seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun berada di ruang dapur. Mereka telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Tiga lagi pelajar yang sempat melarikan diri dari tempat kejadian telah diserahkan oleh seorang guru mereka kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi semalam, enam pelajar terbabit terperangkap di dalam sebuah unit rumah pangsa yang berkunci ketika cuba melarikan diri daripada guru dan polis selepas perbuatan mereka ponteng sekolah terbongkar.
Kesemua mereka diselamatkan oleh anggota bomba menggunakan tangga untuk turun dari rumah yang terletak di tingkat tersebut.
Sebelum itu mereka dikatakan melepak dalam sebuah rumah tidak berpenghuni di tingkat empat, namun melarikan diri selepas kegiatan mereka disedari penduduk.










