PADAWAN – Seorang pengasuh ditangkap di sebuah rumah sewa di MJC Batu Kawa di sini semalam selepas disyaki mendera kanak-kanak lelaki sehingga kritikal malah tidak diberi makanan dan minuman selama hampir tiga minggu.
Wanita berusia 23 tahun tersebut diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada pukul 2 petang.
Sumber berkata, suspek dicekup susulan laporan polis yang diterima daripada ibu kanak-kanak berusia setahun dua bulan itu.
Kata sumber, berdasarkan laporan daripada ibu mangsa yang berusia 17 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut itu, dia telah meninggalkan anaknya dengan pengasuh tersebut sejak tiga minggu lalu.
“Bagaimanapun, pada Khamis lalu, ibu kanak-kanak terbabit telah dimaklumkan oleh pengasuh itu mengatakan anaknya yang sedang bermain tiba-tiba menangis sehingga mukanya pucat.
“Ibu mangsa kemudian bergegas pergi ke rumah sewa suspek dan mendapati anaknya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, hasil pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak itu berada dalam keadaan kritikal disebabkan lama tidak diberi makan dan minum iaitu hampir tiga minggu.
Kata sumber, akibat lama tidak makan dan minum, mangsa juga diserang sawan dan dijangkiti kuman pada paru-parunya.
“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan botol susu dan tangan pada bahagian kepala mangsa.
“Suspek juga mengaku bertindak demikian disebabkan marah terhadap ibu mangsa yang lambat membayar upahnya,” jelasnya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)a Akta Kanak-kanak 2001. – K! ONLINE










