Polis tahan lelaki serang, ugut bunuh kakak ipar - Utusan Malaysia

Polis tahan lelaki serang, ugut bunuh kakak ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyerang dan mengugut untuk membunuh kakak iparnya dalam kejadian di Kampung Baru Selarong Panjang, Karangan dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 9.35 pagi, suspek berusia 31 tahun tersebut dikatakan telah menyerang wanita itu menggunakan kayu dan batu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan, Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek sebelum itu bertengkar dengan abangnya sebelum bertindak menyerang kakak iparnya yang berusia 30-an.

“Lelaki itu pada awalnya berselisih faham dengan abangnya sahaja dan berlarutan sehingga berlaku pertengkaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Nasir berkata, kejadian pertengkaran dua beradik tersebut turut disaksikan ahli keluarga mereka.

“Mangsa yang trauma dan bimbang dengan keselamatan dirinya telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Kob selepas kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, polis kemudian menahan suspek di Kampung Baru Selarong Panjang, Karangan dekat sini pada pukul 12.45 tengah hari semalam.

Tambahnya, hasil siasatan suspek mengaku telah mengugut mangsa.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN