KOTA KINABALU – Polis Sabah bersiap siaga berdepan sebarang kemungkinan rusuhan melibatkan pertembungan dua penyokong berikutan keputusan kesahihan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang akan diputuskan pihak pada 25 Oktober ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, risikan polis mendapati pergerakan dua kumpulan antara penyokong bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dijangka akan berkumpul di dua lokasi berasingan.
Menurut Omar, polis akan mengawal ketat pergerakan penyokong di sekitar kawasan Mahkamah Kota Kinabalu di sini dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk menggerakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sekiranya diperlukan.
“Kita mendapat maklumat bahawa akan ada kumpulan tertentu mengadakan perarakan susulan keputusan prosiding mahkamah melibatkan kesahihan jawatan Ketua Menteri Sabah pada 25 Oktober ini.
“Kita tidak mempunya maklumat mengenai anggaran penyokong terlibat. Bagaimanapun, kami menjangkakan ramai yang akan berkumpul selepas prosiding mahkamah itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perjumpaan dan Amanat sempena Lawatan Rasmi Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.
Omar berkata, beliau berharap penyokong kedua-dua pihak menghormati keputusan mahkamah dan tidak melakukan perbuatan melanggar undang-undang serta mengganggu ketenteraman awam.
“Sekiranya mereka melakukan perbuatan melanggar undang-undang, polis bersedia melakukan tangkapan dan menyiasat mengikut peruntukan undang-undang bersesuaian,”jelasnya.
Tambahnya, setakat ini polis belum menerima permohonan permit mengadakan perhimpunan aman dan tiada cadangan melakukan sekatan jalan raya menghala ke dua lokasi terlibat.
Pada 6 Jun lalu, Musa memfailkan saman bersama afidavit terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd. Shafie.
Writ baharu itu difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co yang mewakili Musa manakala saman yang difailkan sebelum ini pada 17 Mei lalu dibatalkan.
Saman berkenaan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Tun Juhar pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. – K! ONLINE











