KOTA BHARU 21 Okt. – Polis merampas sepucuk pistol yang boleh melepaskan tembakan secara senyap dan menahan tiga lelaki dalam satu operasi di sebuah rumah di Kampung Bagus, Rantau Panjang, Khamis lalu.
Pistol jenis Revolver berwarna perak tersebut dirampas bersama dua peluru hidup .22mm oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Pahang ketika melakukan rondaan sempadan pada pukul 11.15 malam.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, turut ditemukan dua paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu seberat 10.94 gram bernilai RM1,641 dan sebilah parang panjang bersarung hitam.
“Suspek merupakan warga tempatan berusia 33, 38 dan 41 tahun manakala pistol tersebut dipercayai milik suspek berusia 41 tahun.
“Dia dipercayai membelinya dari negara jiran dengan harga RM2,000 dan menyimpan pistol itu sejak setahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Pemerintah Medan Kawalan Pengoperasian Keselamatan Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (ICQS) Kelantan, Asisten Superintanden Mohd. Sukiman Mat Arshad.
Hasanuddin berkata, pihaknya percaya pemilikan senjata api itu bertujuan melindungi kumpulan suspek yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lalu.
“Semakan rekod lampau mendapati dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Kesemua suspek didapati positif dadah jenis metamphetamine dan mereka kini direman lima hari bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (Penalti Lebih Berat), Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – UTUSAN ONLINE










