PADANG BESAR – Polis berjaya merampas 28 guni yang berisi 700 kilogram daun ketum bernilai RM21,000 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kolam di sini kira-kira pukul 10 pagi hari ini.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya melakukan serbuan itu hasil maklumat risikan pihaknya.
“Seorang suspek lelaki berusia 33 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek akan menyeludup daun ketum itu untuk pasaran Thailand.
“Dia dipercayai telah melakukan penyeludupan daun ketum itu sejak lebih dua tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan suspek bakal direman selama empat hari bermula esok hingga Ahad ini.
Harga daun ketum bagi pasaran tempatan kira-kira RM30 satu kg sementara bagi pasaran Thailand meningkat sekali ganda iaitu RM60 hingga RM80 sekilogram. – K! ONLINE











