KOTA BHARU 14 Okt. – Seorang anggota trafik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan cedera selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta dipandu wanita warga emas di persimpangan lampu isyarat Pasir Hor, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, anggota terbabit, Lans Koperal Mohd. Fauzee Ibrahim 32, yang sedang bertugas mengiringi kenderaan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Petra patah tangan kanan.
Walau bagaimanapun, pemandu kereta jenis Toyota Vios terbabit yang berusia 62 tahun dan merupakan pesara guru tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, semasa kejadian, mangsa sedang mengiringi kenderaan tersebut dari Istana Mahkota di Kubang Kerian menghala ke Hotel Perdana.
“Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat Pasir Hor, seorang lagi anggota trafik menahan lalu lintas di situ bagi memberi laluan kepada kenderaan dari istana.
“Namun, sebuah kereta Toyata Vios dinaiki seorang wanita dari arah Lundang telah membelok ke kanan untuk ke Pasir Hor menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak dan berlanggar dengannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Hasanuddin, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut manakala wanita itu telah tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membuat laporan berhubung kejadian tersebut.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya bukan sahaja sentiasa peka dan akur pada arahan lalu lintas dikeluarkan anggota trafik, malah peka dengan bunyi siren ambulans dan pihak bomba dari semasa ke semasa kerana perkara ini termaktub dalam undang-undang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. – UTUSAN ONLINE











