KOTA BHARU 22 Okt. – Polis sedang menilai semula cara pengukuran indeks jenayah berikutan persepsi masyarakat yang masih berasa tidak aman dan selamat meskipun indeks jenayah turun setiap tahun.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, indeks jenayah yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) pihak polis sejak diperkenal enam tahun lalu menunjukkan penurunan ketara secara konsisten.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengukuran yang digunapakai mungkin memerlukan penambahbaikan agar keyakinan masyarakat selari dengan apa yang digambarkan.
“Kita perlu lihat kembali definisi jenayah indeks kerana buat masa ini perkara itu diukur mengikut dua jenis jenayah iaitu pertama jenayah kekerasan seperti rogol dan mendatangkan kecederaan dan kedua jenayah harta benda seperti samun.
“Setakat ini jenayah indeks tidak memasukkan kesalahan dalam undang-undang seperti Akta Perlindungan Kanak-kanak dan Akta Keganasan Rumahtangga serta kesalahan gaduh gempar, ugutan jenayah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Rentas Sempadan negeri Kelantan 2018 ‘Bersama Tingkatkan Integriti Banteras Jenayah Penyeludupan’ di Dewan Utama PCB Resort di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan; Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi MCPF negeri, Datuk Abd Aziz Nawi.
Menurut Rosli lagi, satu kaji selidik sedang dilaksanakan pihak Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM) berhubung persepsi jenayah yang dijangka siap dalam masa dua bulan ini sebelum dibawa ke meja rundingan untuk dibincangkan polis dengan pertubuhan seperti MCPF dan agensi berkepentingan lain.
Sementara itu, seramai 500 peserta terdiri daripada anggota penguatkuasa sempadan dan pemimpin masyarakat hadir dalam seminar tersebut. – UTUSAN ONLINE










