KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur bersiap sedia untuk mengawal keselamatan dan lalu lintas di sekitar kawasan Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) esok di sini yang menjadi lokasi pemandu-pemandu teksi hadir untuk membincangkan isu perkhidmatan e-hailing iaitu Grab.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, terdapat maklumat bahawa persatuan pemandu-pemandu teksi akan ke Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di bangunan berkenaan bagi membincangkan isu Grab.
“Sebelum ini mereka telah rancang untuk adakan di sekitar bangunan Parlimen untuk membantah Grab tetapi ia telah dibatalkan.
“Polis sentiasa bersiap-sedia untuk mengawal kawasan sekitar dan ingin menasihati mereka supaya tidak melakukan sebarang kekacauan yang boleh menganggu ketenteraman awam serta menghalang lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memberitahu bahawa mana-mana individu yang bertindak di luar kawalan akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak polis.
Kosmo! semalam melaporkan Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan hasrat meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas terguris hati dengan perbuatan segelintir pemandu teksi pada sesi dialog di Langkawi Lagoon, Langkawi, Kedah kelmarin.
Mahathir dipercayai meluahkan hasrat itu selepas kecewa dengan sekumpulan pemandu teksi yang mencetuskan kekecohan kecil sebelum mereka bertindak keluar dewan pada majlis dialog itu.
Difahamkan kekecewaan pemandu-pemandu teksi Langkawi tersebut disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan Mahathir mengenai perkhidmatan e-hailing iaitu Grab yang tidak akan dihapuskan. – K! ONLINE











