Polis komited banteras ancaman jenayah rentas sempadan di Sabah - Utusan Malaysia

Polis komited banteras ancaman jenayah rentas sempadan di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia terus proaktif dan komited dalam membanteras sekali gus mengawal kawasan Zon Selamat Sabah (Esszone) daripada sebarang ancaman jenayah rentas sempadan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, bagi mencapai matlamat tersebut pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

“Mesyuarat khas ini adalah untuk membincangkan tindakan-tindakan bagi memantapkan pengurusan sempadan perairan di negeri ini.

“Seperti yang kita sedia maklum Sabah mempunyai perbatasan laut yang begitu panjang. Keluasan pantai di sini sahaja mencecah lebih kurang 1,500 kilometer yang harus kita jaga,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Inspektor Kehormat Polis Diraja Malaysia kepada pengamal media, Mohd. Yazzer Mahmun di IPK Sabah di sini.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Tambah Noor Rashid, aspek keselamatan perairan di negeri ini khususnya di perairan Esszone tidak boleh dipandang ringan memandangkan ia kawasan sensitif melibatkan jenayah rentas sempadan.

“Ini termasuklah, isu penyeludupan manusia, barangan dan dadah serta isu keselamatan seperti penculikan,” jelasnya lanjut.

Sehubungan itu, bagi memastikan kesejahteraan perairan Sabah pihak PDRM turut membincangkan analisa dan penambahbaikan tindakan terbaik.

Antaranya ialah meningkatkan kesiapsiagaan anggota polis dalam berdepan dengan ancaman jenayah, menambahbaik sokongan logistik dan fokus kepada kolaborasi bersama masyarakat yang tinggal di kawasan terbabit.

Langkah ini bertujuan untuk memudahkan pihak polis mengambil tindakan dengan lebih tepat. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN