KUCHING – Seorang jurujual lelaki dicekup di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang di sini semalam selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abd. Latif berkata, suspek berusia 29 tahun itu diberkas oleh pasukan JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada pukul 11.30 pagi.
Menurutnya, kejayaan tangkapan itu adalah hasil maklumat awam dan risikan yang dilakukan pasukan JSJN Sarawak.
“Pemeriksaan di rumah suspek telah menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi 12 peket campuran serbuk jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 303.64 gram yang dianggarkan bernilai RM5,400.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penjualan dadah di pusat-pusat hiburan di sekitar pusat bandar raya ini sejak Ogos lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan aktiviti jenayah itu.
Katanya, ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.
“Lelaki tersebut juga ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya. – K! ONLINE










