KUALA TERENGGANU – Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai gambar di Gong Badak, Kuala Nerus pada 17 Oktober lalu.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman, suspek terbabit, Abdul Rahim Alias, 40, yang beralamat di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor dipercayai mencuri sebuah kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) model Canon 50D dari kedai tersebut sebelum memuat naik satu iklan di laman web jual beli, mudah.my.
“Berdasarkan laporan yang diterima daripada pemilik kedai berkenaan, suspek dikatakan memecah masuk ke premis itu melalui bumbung sebuah klinik yang terletak bersebelahan dan melarikan sebuah kamera DSLR.
“Suspek ingin menjual kamera DSLR itu pada harga RM1,300 dalam laman web mudah.my dan tanpa disangka pemilik kedai berkenaan melihat iklan yang dimuat naik lalu ‘memancing’ penjual terbabit untuk bertemu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Jelas Suffian, penjual itu kemudiannya bersetuju untuk bertemu dengan pemilik kedai tersebut di sebuah pasar raya di Jalan Hiliran dan tidak lama kemudian muncul seorang wanita sambil membawa sebuah kamera DSLR.
Tambah Suffian, pemilik kedai itu yakin kamera DSLR dibawa oleh wanita terbabit merupakan barang yang dicuri dari premisnya lalu menghubungi pihak polis.
“Wanita terbabit mungkin telah memberi amaran menerusi khidmat pesanan ringkas ekoran suspek berjaya melarikan diri.
“Hasil soal siasat mendapati wanita terbabit merupakan isteri kepada suspek dan dia tidak mengetahui bahawa kamera yang dibawa adalah barangan yang dicuri oleh suaminya,” ujar Suffian.
Mengulas lanjut, Suffian berkata, wanita yang mempunyai seorang anak berusia empat tahun itu direman selama empat hari bermula 22 Oktober lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki yang berasal dari Bachok, Kelantan itu turut mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan premis.
“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE










