Polis berkas lelaki mengamuk rosakkan kenderaan, rumah penduduk - Utusan Malaysia

Polis berkas lelaki mengamuk rosakkan kenderaan, rumah penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 26 Okt. – Kecekapan anggota polis dan penduduk Kampung Kuah Mukim Kuah di sini berjaya memberkas seorang lelaki yang mengamuk sehingga merosakkan rumah dan kenderaan dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim, lelaki berusia 42 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan metadon ketika kejadian tersebut.

“Pegawai bertugas dengan dibantu oleh sepasukan Polis Langkawi serta anggota MPV yang melakukan rondaan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki mengamuk bersenjatakan parang dan senjata tajam lain.

“Lelaki berkenaan merosakkan tiga kenderaan serta tingkap rumah milik orang kampung berhampiran. Walau bagaimanapun hasil ketangkasan dan kecekapan polis ditambah dengan bantuan orang kampung berjaya menangkap lelaki tersebut yang dikatakan di bawah pengaruh alkohol dan metadon,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, lelaki tempatan tersebut ditangkap dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Langkawi.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat) dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan Dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai dua rekod jenayah iaitu di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN