Pokok buah-buahan hiasi Lake 2, Educity - Utusan Malaysia

Pokok buah-buahan hiasi Lake 2, Educity

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI 15 Okt. – Dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon, selain meningkatkan kecemerlangan ekosistem secara berterusan di kawasan sekitar Lake 2, Educity di sini, sebanyak 63 pokok buah-buahan tempatan ditanam di situ.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, sebanyak lima jenis pokok iaitu durian, mangga, rambutan, pulasan dan betik ditanam di kawasan seluas 2.02 hektar menerusi program Leaf a Legacy.

Menurutnya, program tersebut boleh menjadi satu platform pemangkin bagi perkongsian penge­tahuan dan pergaulan di kampus selain pengunjung dapat menghirup udara segar serta menikmati hasil tanaman.

“Educity sebagai pemaju yang pada masa sebelum ini lebih me­numpukan pembangunan dan landskap. Kami merasakan bahawa penanaman pokok adalah inisiatif yang dapat dijalankan untuk mengeratkan persaudaraan serta hubungan dengan pelajar terma­suk dalam kalangan penuntut universiti di kawasan sekitar.

“Selain itu, usaha ini juga secara tidak langsung dapat memupuk keinginan memelihara alam sekitar, sekali gus menyumbang semula terhadap persekitaran, selain pada masa akan datang kita juga dapat merasai hasil tanaman itu,” katanya selepas merasmikan program berkenaan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kamarudzaman Abdul Mubin.

Program Leaf of Legacy yang julung kali dianjurkan IIB turut mendapat kerjasama daripada dua universiti termasuk University of Reading Malaysia dan Newcastle University Medicine Malaysia.

Sementara itu, Kamarudzaman menggalakkan lebih banyak pihak swasta mahupun korporat bersama-sama menganjurkan pelbagai program bermanfaat seumpama itu, sekali gus membolehkan pelajar bukan hanya memberi tum­puan dalam pendidikan di dalam kelas.

“JPN ada Program Ibu Bapa dan Komuniti (IBK). Apabila sebut komuniti, usaha ini melibatkan semua pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN