Platform PBT libatkan penduduk - Utusan Malaysia

Platform PBT libatkan penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA 4 Okt. – Isu berkaitan kos sara hidup, cukai, masalah sosial dan keselamatan penduduk menjadi topik utama perbincangan program Lab Bajet Bandar Pintar anjuran Majlis Perbandaran Su­bang Jaya (MPSJ) di sini baru-baru ini.

Selain pertemuan dengan 50 orang wakil Jawatankuasa Penduduk (JKP) dari 24 zon di Su­bang Jaya, Selangor, sesi turut melibatkan wakil Jawatankuasa Pengurusan Kawasan Perindustrian (IPMC) dan wakil syarikat perbankan yang beroperasi di dalam kawasan pentadbiran MPSJ.

Program yang dianjurkan buat kali pertama itu bertujuan mengumpul pandangan orang ramai mengenai isu pengurusan dan per­belanjaan kewangan bagi tahun 2019 (Bajet 2019).

Perbincangan ternyata membuahkan hasil apabila mendapat kerjasama dan maklum balas baik khususnya dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) zon 15, Datuk Kamaruzzaman Ibrahim berkata, orang ramai menaruh harapan yang tinggi terhadap pihak berkuasa tempatan khususnya dalam usaha meningkatkan peluang yang boleh menjana ekonomi penduduk.

Antara cadangan yang dikemukakan beliau adalah meminta kerajaan melalui PBT mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada orang ramai.

Beliau berkata, di kawasannya iaitu Puchong Utama, pembinaan sebuah medan selera diperlukan bagi membolehkan penduduk mencari pendapatan.

“Selain itu, saya juga berharap MPSJ memperkasakan hubu­ngan dengan penduduk setempat supaya apa juga isu yang ada dapat diselesaikan secara tuntas tanpa timbul sebarang konflik berkepentingan,” katanya kepada ­Utusan Malaysia di sini.

Program yang berlangsung pada pukul 9 pagi hingga 2 petang itu dihadiri oleh Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan dan timbalannya, Mohd. Zulkurnain Che Ali.

Kamaruzzaman berkata, keprihatinan PBT juga diperlukan dalam aspek pembelaan golongan warga emas misalnya melalui penyediaan lebih banyak rumah penjagaan orang tua.

Sementara itu, Bendahari JKP zon 23, Tan See Meng menge­syorkan MPSJ menubuhkan majlis penasihat yang dianggotai oleh mereka yang berkemahiran dalam sesuatu bidang seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang (Majlis Penasihat Kerajaan).

Katanya, penubuhan majlis itu penting untuk mencorakkan pembangunan bandar yang dihimpit pelbagai isu seperti ke­sesakan lalu lintas, keselamatan kawasan kediaman dan isu kemudahan awam.

“Tidak salah jika kita melantik orang luar yang pakar dalam bidang masing-masing sebagai penasihat dalam pelaksanaan dasar pembangunan PBT,’’ katanya.

Ahli Jawatankuasa Kebajikan JKP zon 15, Azhar Ahmad pula menggesa MPSJ memberi tum­puan kepada isu-isu ke­selamatan terutama di kawasan kediaman penduduk termasuk isu sampah haram di sekitar Puchong.

“Selain masalah tempat pembuangan sampah haram yang semakin banyak, masalah anjing liar di kawasan taman permai­nan juga perlu juga ditangani demi keselamatan.

“Saya cadangkan MPSJ memasang pagar untuk menghalang haiwan tersebut daripada memasuki kawasan-kawasan awam seperti di kediaman dan taman permainan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN