KUCHING 25 Okt. – PKR Sarawak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini setelah bantahan dibuat tidak dihiraukan dalam pemilihan parti berkenaan.
Menurut Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin, bantahan tersebut terpaksa dibuat berikutan tiada tindakan susulan diambil oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
“Setiausaha Agung parti semalam telah mengeluarkan kenyataan bahawa senarai ahli dimuktamadkan dan bantahan dibuat melebihi tempoh ditetapkan.
“Kami tiada pilihan selain membawa perkara ini kepada SPRM berikutan kejanggalan (irregularities) dan tidak mematuhi peraturan yang sudah dibangkitkan mengikut saluran parti,” katanya.
Yang turut hadir, Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How dan Ketua Penerangannya, Vernon Kedit.
Terdahulu, PKR Sarawak mengemukakan aduan berhubung kejanggalan keanggotaan dalam PKR Cabang Julau yang menambah jumlah ahli kepada lebih 13,000 daripada 603 pada Jun lalu dalam satu hari menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti pusat itu.
Bagaimanapun, Saifuddin memaklumkan aduan pertambahan mendadak ahli PKR itu telah dipertanggungjawabkan kepada penyandang jawatan naib presiden parti, Dr Xavier Jayakumar.
Sementara itu, Vernon berkata, pihaknya meminta SPRM agar menyiasat dengan teliti hal itu jika terdapat salah guna kuasa oleh pemimpin tertentu bagi melindungi penipuan dan melanggar peraturan seperti dinyatakan dalam akaun bersumpah dibuat.
“Laporan ini juga dibuat kerana membabitkan imej parti dan kredibiliti yang kini dikecam orang awam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










