PKR negeri siasat dakwaan politik wang - Utusan Malaysia

PKR negeri siasat dakwaan politik wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN 20 Okt. – PKR negeri sedang menyiasat dakwaan berlaku satu kes politik wang dalam pemilihan parti itu di sebuah cabang negeri ini.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, pihaknya menerima laporan ada antara calon jawatankuasa PKR di cabang terbabit cuba ‘menyogok’ anggota parti sebanyak RM50 setiap seorang untuk keluar mengundi.

Katanya, PKR negeri memandang serius dakwaan berkenaan dan pihaknya telah melakukan risikan dengan lebih terperinci perkara itu bagi mendapatkan kesahihannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita telah tugas jawatankuasa untuk memantau semua cabang bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku dan secara tegas saya katakan, kita akan siasat perkara itu sedalam-dalamnya.

“Jika terbukti bersalah, kita tidak teragak-agak untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui selepas mengundi pada pemilihan PKR peringkat Cabang Jasin di Dewan Lipat Kajang, Merlimau di sini hari ini.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, PKR negeri juga menolak sekeras-kerasnya amalan tidak berintegriti itu dan menasihatkan semua anggota parti agar tidak terjebak.

Shamsul Iskandar bertanding satu lawan satu menentang Zulkefly Osman bagi jawatan Ketua Cabang Jasin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya turut mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR di peringkat Pusat menentang 11 calon lain.

Dalam pada itu beliau berkata, sehingga pukul 1.30 petang ini, hanya 28 peratus daripada 9,387 perwakilan PKR yang layak mengundi di seluruh negeri ini telah keluar mengundi. PKR Melaka mempunyai kira-kira 30,000 orang ahli.

Sehubungan itu, beliau akan meminta semua kepemimpinan ranting dan cabang supaya mengeluarkan seramai mungkin ahli untuk mengundi yang akan berakhir pada pukul 5 petang ini.

Katanya, PKR negeri mahu menunjukkan bahawa anggota PKR negeri itu sangat bertanggungjawab dan komited terhadap parti dan setiap daripada mereka mempunyai kuasa untuk memilih pucuk kepemimpinan, bukan sahaja di peringkat ranting dan cabang, tetapi juga di peringkat Pusat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini