JASIN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri sedang menyiasat mengenai dakwaan politik wang yang berlaku dalam satu cabang pemilihan parti itu bagi peringkat negeri ini.
Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, pihaknya menerima laporan terdapat calon jawatan kuasa PKR di cabang berkenaan cuba menyogok anggota parti sebanyak RM50 setiap seorang untuk keluar mengundi.
Katanya, PKR negeri memandang serius dakwaan itu dan pihaknya telah melakukan risikan bagi mendapatkan kesahihannya perkara tersebut.
“Kita telah menugaskan jawatankuasa untuk memantau semua cabang bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku dan secara tegas saya katakan, kita akan siasat perkara itu sedalam-dalamnya.
“Jika terbukti bersalah, kita tidak teragak-agak untuk melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Dewan Lipat Kajang, Merlimau di sini hari ini.
Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama memberitahu, PKR negeri menolak sekeras-kerasnya amalan tidak berintegriti itu dan menasihatkan semua anggota parti supaya tidak terjebak.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 28 peratus atau 9,300 perwakilan seluruh negeri keluar mengundi setakat pukul 1.30 petang hari ini.
Sehubungan itu, beliau akan meminta semua kepemimpinan ranting dan cabang supaya keluar seramai mungkin untuk menunaikan tanggungjawab yang berakhir pada pukul 5 petang. – K! ONLINE








