LONDON 17 Okt. – Penjaring sensai Genoa, Krzysztof Piatek kini menjadi buruan beberapa pasukan namun masih belum ada sebarang tawaran rasmi dikemukakan terhadap pemain itu, kata ejennya, Szymon Pacanowski.
Beberapa pasukan seperti Barcelona, Atletico Madrid, Bayern Munich, Borussia Dortmund dan Chelsea dikhabarkan berminat untuk mendapatkan Piatek yang sudah menjaringkan 13 gol musim ini dalam semua pertandingan bersama kelabnya.
Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis mendedahkan bahawa dia sudah mengadakan perbincangan bersama Genoa mengenai pemain Poland berusia 23 tahun itu selepas dia menjadi pemain pertama selepas Gabriel Batistuta menjaringkan gol dalam kesemua tujuh perlawanan Serie A.
Pacanowski memberitahu, pemain itu gembira untuk terus kekal bersama Genoa meskipun baru bersama kelab itu.
“Banyak kelab menghubungi kami beberapa minggu lalu, tetapi saya tidak akan mendedahkannya.
“Bagaimanapun, masih belum ada sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana kelab termasuk Napoli.
“Nilai pemain itu semakin meningkat sejak tiga bulan beraksi dalam Serie A tetapi apa yang boleh saya katakan, dia gembira untuk kekal bersama Genoa,” kata Pacanowski kepada CalcioNapoli24.-AGENSI











