KUALA NERUS 24 Okt. – Kesemua para pemain utama mampu diturunkan dan berada pada tahap motivasi paling tinggi tanpa tekanan yang melengkapkan langkahan Terengganu FC (TFC), untuk beraksi di pentas akhir Piala Malaysia.
Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan perlawanan Sabtu ini yang dinanti-nanti itu sebagai ‘perlawanan akhir ketiga’ setelah menundukkan pasukan pilihan, JDT dalam dua perlawanan separuh akhir.
“Kita sudah lalui perjalanan ini dengan positif sekali, kita tidak lagi merasa tertekan, pemain cukup ceria dan mereka pula sudah sebati dengan corak permainan skuad lawan (Perak).
“Kali ini tiada pasukan favourite,” ujarnya tentang peluang yang seimbang ketika ditemui pemberita lewat petang semalam. Skuad negeri itu dijadualkan bertolak ke Kuala Lumpur pagi esok.
Katanya, latihan dimulakan sehari selepas pulang dari Johor yang mengesahkan tempat ke perlawanan akhir dan seluruh pemain sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk mengharungi cabaran akhir.
Ini merupakan kali kedua Irfan Bakti mengemudikan Terengganu ke pentas akhir, yang kembali menyusul selepas tujuh tahun lalu namun hanya bergelar naib juara.
“Jadi secara peribadi saya berhasrat menjadikan Piala Malaysia sebagai senarai anugerah peribadi istimewa saya selama terbabit dengan dunia bola sepak.
“Seluruh rakyat mengharapkan skuad penyu memperlihatkan aksi terbaik. Jadi bermainlah untuk lencana kita, untuk pasukan dan negeri,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE











