IPOH 25 Okt. – Selepas merangkul kejuaraan dalam liga yang pernah disertai iaitu di Brazil dan di Sweden, bintang penyerang Perak, Gilmar Da Silva mahu melengkapkan karier bola sepaknya dengan menjulang Piala Malaysia, Sabtu ini.
Menurut pemain kelahiran Brazil itu, pertemuan menentang Terengganu di Stadium Shah Alam adalah pentas paling sempurna untuk memenuhi impiannya selepas sebelum ini dia gagal membantu bekas pasukannya, Kelantan dalam final Piala FA 2013 apabila kalah 0-1 kepada JDT.
“Sejak bergelar pemain bola sepak pada 2005, saya sudah memenangi piala di tempat kelahiran saya Brazil dan di Sweeden, namun belum memenangi apa-apa piala di Malaysia.
“Untuk final nanti, saya tidak boleh menjanjikan berapa jaringan yang akan lakukan namun sudah pasti aksi terbaik untuk memenangi perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas latihan pasukan Perak di Stadium Perak hari ini.
Menurut Gilmar, untuk aksi Sabtu ini, pengendali pasukan, Mehmet Durakovic tiada memberikan arahan khusus kepadanya namun akur dengan amanat jurulatih itu supaya semua pemain fokus di sepanjang perlawanan.
“Jurulatih mahu kami memberikan sepenuh tumpuan dalam 90 minit di atas padang dan inilah yang akan kami lakukan nanti. Jika kami kekal fokus, perlawanan mungkin memihak kepada kami,” katanya.
Mengenai skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim, Gilmar berkata, Terengganu merupakan pasukan yang cukup bagus dan jurulatih yang berpengalaman.
Begitupun katanya, Perak juga mempunyai kekuatan seimbang serta keserasian sesama pemain sehingga berjaya mara ke perlawanan akhir.
“Final ini mempertemukan dua pasukan terbaik, sudah tentunya ia akan menjadi satu perlawanan yang akan dikenang oleh peminat negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










