KUALA LUMPUR 30 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak terus mempertikai kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan terbaharu berhubung janji untuk pendidikan percuma.
Kata Najib, dahulu mereka mengatakan kerajaan Barisan Nasional zalim terhadap anak muda hingga mereka galak melaungkan bakal melaksanakan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN.
“Malah turut diumumkan sebagai janji mereka untuk mengatasi inisiatif Transformasi Nasional 2050 (TN50) kerajaan BN yang begitu meluas dan terancang.”
“Malangnya, apabila ditanya mengenai janji mereka di Dewan Rakyat petang ini, Menteri Pendidikan menjawab bahawa tiada rancangan untuk pendidikan percuma kerana pendidikan sudah hampir percuma.”
“Pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma. Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10 peratus daripada kos operasi. Kos 10 peratus itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam.” kata Menteri PH ini.
“Bukankah itu yang kerajaan BN dahulu melakukan juga? Apa bezanya? Pendidikan rendah dan menengah juga percuma sekarang kerana kerajaan BN yang mansuhkan semua bentuk bayaran dan yuran bermula tahun 2012.”
“Bak kata orang lencun terus, mereka yang sebelum ini berharapan apabila mendengar jawapan rasmi Menteri Pendidikan PH hari ini mengenai janji-janji dan hasutan PH dahulu,” kata Najib dalam hantaran Facebook peribadinya. – UTUSAN ONLINE










