KUALA LUMPUR 15 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa akan kekal komited meningkatkan tanggungjawab dalam pengurusan kewangan negara.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berteraskan prinsip kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan, kerajaan PH akan memikul tanggungjawab tersebut supaya dapat mencapai matlamat meningkatkan kesejahteraan ekonomi masyarakat.
Kata beliau, menjadi tanggungjawab kerajaan PH selaku kerajaan Persekutuan untuk mengimbangi kestabilan ekonomi dan langkah konsolidasi fiskal dengan mengurangkan hutang serta liabiliti negara.
“Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai sasaran pertumbuhan ekonomi serta strategi memulihkan kewangan negara bagi tempoh dua tahun akan datang.
“Kesemua perkara berbangkit akan diperincikan dan diumumkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan Bajet 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kajian Separuh Penggal RMK-11 dijangka dibentangkan pada Khamis ini manakala Bajet 2019 pada 2 November depan, masing-masing di Parlimen. – UTUSAN ONLINE










