KUALA LUMPUR 20 Okt. – Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan meninggal dunia pada usia 83 tahun, hari ini.
Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut menyampaikan ucapan takziah beliau kepada keluarga mendiang, menerusi laman web rasmi badan induk bola sepak Asia tersebut.
“Bagi pihak seluruh keluarga bola sepak Asia, saya mengucapkan takziah dan simpati saya terhadap ahli keluarga mendiang kerana kehilangan insan yang paling mereka kasihi. Mendiang merupakan arkitek penting dalam pembangunan bola sepak di Asia,” kata Shaikh Salman hari ini.
Dilahirkan pada tahun 1935, Velappan memiliki latar belakang pendidikan dari Universiti Birmingham, Kolej Loughborough di United Kingdom dan Universiti McGill, Kanada.
Sepanjang khidmat baktinya kepada bola sepak tanah air, beliau pernah membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich sebagai pengurus skuad kebangsaan pada ketika itu.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Agung AFC selama 29 tahun iaitu dari 1978 hingga 2007.
Mendiang pernah menyandang jawatan sebagai penolong setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 1963 hingga 1980. – UTUSAN ONLINE








