JAKARTA – Penerbangan Lion Air JT610 yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat dilaporkan pernah mengalami masalah teknikal, lapor portal Detik.com.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Lion Air mengesahkan kerja-kerja pembaikan berhubung isu itu sudah dilaksanakan pada malam kelmarin.
Malah, pesawat berkenaan dilaporkan telah berlepas dari Denpasar, Bali ke Jakarta untuk penerbangan ke Kepulauan Bangka Belitong.
Berdasarkan maklumat laman flightradar24.com, pesawat JT610 itu berlepas pukul 10.21 malam (waktu tempatan) kelmarin berbanding jadual penerbangan asal pada 7.30 malam. Kapal terbang itu selamat mendarat di Jakarta pada 10.56 malam.
“Pesawat ini berlepas dari Denpasar selepas diberi kebenaran untuk terbang. Memang ada laporan mengenai isu teknikal, dan masalah itu sudah diselesaikan mengikut prosedur penyelenggaraan yang dikeluarkan pengeluar pesawat,” kata Presiden Kumpulan Lion Air, Edward Sirait pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Soekarno -Hatta semalam.
Edward menyatakan, pesawat itu berada dalam keadaan baik ketika berlepas dari Denpasar ke Jakarta. Sekiranya ada masalah berlanjutan, pesawat itu tidak mungkin diberi kebenaran untuk berlepas.
“Jika mempunyai kerosakan, adalah mustahil untuk memberi kebenaran berlepas dari Denpasar. Ya, objek bergerak seperti yang kita tahu boleh mengalami gangguan sebaik mendarat. Hanya selepas mendarat, ada satu laporan daripada kru penerbangan yang mana kami segera melakukan apa perlu (kami) lakukan,” kata Edward.
“Pada malam itu, pemeriksaan dan kerja pembaikan dilakukan berdasarkan arahan pihak pengeluar pesawat itu,” tambahnya.
Sementara itu, juruterbang Lion Air 610, Bhavye Suneja sempat melaporkan masalah kawalan penerbangan ketika berada pada ketinggian 518 meter. Juruterbang itu kemudian meminta kebenaran untuk meningkatkan ketinggian penerbangan.
“Pada pukul 6.22 pagi (waktu tempatan), juruterbang menghubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Jakarta dan memaklumkan masalah kawalan penerbangan ketika terbang pada ketinggian 518 meter dan meminta kebenaran untuk meningkatkan paras penerbangan kepada 1,524 meter dan diberikan kebenaran untuk berbuat demikian.
Pada pukul 6.32 pagi, Pusat Kawalan Trafik Udara Jakarta terputus hubungan dengan pesawat JT 610 dan kemudian disahkan terhempas di perairan Karawang. – Agensi










