KUANTAN – Seorang pesara kilang mengalami kerugian RM30,000 selepas terpedaya dengan satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwanya terlibat dengan kes pengubahan wang haram serta pengedaran dadah semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata mangsa, 57, yang tinggal di Padang Tengku, Lipis menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai bank.
“Suspek berkenaan mendakwa mangsa mempunyai pinjaman peribadi yang tertunggak bagaimanapun telah dinafikan oleh mangsa, sebelum panggilan telefon itu disambung pula kepada anggota polis yang mendakwanya terlibat dengan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
“Selepas itu, panggilan itu disambung kepada pegawai penyiasat yang menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kes terbabit dengan melakukan pindahan wang daripada akaunnya untuk mengelak daripada akaun dibekukan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian membuat pindahan wang sebanyak RM30,000 ke dalam akaun yang diberi suspek, namun mula menyedari ditipu setelah suspek meminta wang tambahan sebanyak RM30,000. – Bernama











